Langit tinggi yang tadinya
cerah bertukar gelap. Sekelip mata sahaja. Sekumpulan awan tebal kelihatan
berarak di atas bumbung-bumbung biru universiti. Mentari yang hampir berlabuh
di ufuk barat sudah tidak kelihatan. Habis sinarnya dihalang awan hitam.
Sejurus kemudian, ruang angkasa institut pengajian tinggi yang dikenali sebagai
Taman Budi dan Ilmu itu bertambah gelap.
Ketika petang sudah hampir
tiba di penghujungnya, kelihatan ada beberapa orang muslim dan muslimah sedang
duduk-duduk di ruang solat. Ada juga yang sedang membaca al-Quran.
Masjid yang terletak di
tengah-tengah institut ilmu itu memang bertuah. Sentiasa 'imarah. Tidak pernah
tidak ada jemaah. Rumah ibadah yang menjadi pusat pertemuan warga institut itu
seringkali dikunjungi orang sekalipun penuntut-penuntutnya pulang ke tanah air
masing-masing.
Perkongsian dalam
pertemuan.
"Liz, ada
musykilah?"
Liz mengangguk. Pelajar
perempuan yang baru setahun jagung menjadi warga universiti itu tidak pernah
segan mengaku ada masalah. Dia sangat terbuka. Tidak pernah berselindung.
"Masalah apa?"
Saya bertanya dengan nada bersahaja. Mengajak dia untuk berkongsi.
"Kak, saya sedih. Saya
sedih sebab setiap kali bersolat malam atau muhasabah, saya rasa susah nak
menangis." Pelajar perempuan itu mula menyatakan masalah jiwanya.
"Kadang-kadang tu,
saya sampai dah tak tahu nak buat apa lagi supaya menangis."Pelajar itu
menyambung. Suaranya terketar-ketar.
"Ingatlah mati."
Saya mencelah perlahan.
"Sudah. Tapi, tetap
tak mampu menangis. Pernah saya minta daripada Allah ..."Bicaranya
terhenti. Matanya mula berkaca-kaca. Dia diam. Menahan air mata daripada
mengalir.
"Pernah saya berdoa,
Ya Allah, kalau Engkau memang sudah tidak mengizinkan aku menjadi hamba yang
baik, Engkau matikan sahaja aku."
'Astaghfirullah!' Spontan
saya beristighfar di dalam hati. Pelajar ini kelihatan seperti sudah tidak
tahan memiliki hati yang sudah tidak mampu mengalirkan air mata keinsafan.
Semoga Allah masih memegang hatinya.
"Apa gunanya hidup
kalau diri tak menjadi hamba yang baik untuk Allah," Pelajar itu
menyambung dengan nada yang terputus-putus. Sejurus kemudian, mulutnya terpaku.
Tiada lagi bunyi yang keluar dari peti suaranya. Lama dia membisu. Air mata
mudanya kelihatan tumpah ke pipi.
Saya merenung ke permaidani
merah yang menutupi lantai marmar masjid. Bermuhasabah sambil menyusun kata.
Saya terus merenung, sedang adik perempuan tadi setia menunggu ungkapan saya.
Mohon diberi petanda arah
menuju ke jalan keluar. Seketika kemudian, saya melihat wajahnya yang sayu.
Matanya merah. Pipinya basah. Uraian air mata yang berterjunan di pipi diseka.
Dia tunduk. Malu. Malu dengan diri sendiri.
"Liz, Allah itu Maha
Pengasih, Maha Penyayang. Beruntunglah Liz kerana masih mampu menangis di sini,
sekalipun tidak mampu menangis selepas solat." Sengaja saya berkata
sedemikian. Mahu menyedarkan dia bahawa dirinya masih mempunyai hati. Hati yang
masih mampu menangis apabila disentuh.
"Duduk dan
bermuhasabahlah lagi. Mungkin jiwa kita belum cukup ikhlas untuk memohon
keampunan. Mungkin hati kita tidak benar-benar ikhlas memohon taubat. Siapa
tahu, dalam kita bersabar meminta ampun dan taubat, Allah mengizinkan hati kita
untuk menangis." Saya memberi pandangan.
"Liz, Allah tidak
mematikan Liz sekarang kerana Allah masih sayangkan Liz. Liz masih ada ruang.
Liz masih ada peluang. Berdoa meminta agar dimatikan segera itu salah. Salah
besar!" tegas saya.
Air matanya yang deras
mengalir sebentar tadi berhenti. Terjaga dari lena sangkaan yang salah.
"Allah meminta kita
berusaha, bukannya mengalah. Jangan meminta diri dimatikan hanya kerana tidak
mampu menangis apabila mengenang dosa. Jangan meminta dimatikan sedangkan diri
tidak dalam keimanan."
"Rugi besarlah kita
andainya di akhirat kelak, antara kita dengan syurga jaraknya tinggal sehasta,
tapi takdir telah mendahului dan kita dicampakkan ke neraka. Kenapa?" Saya
meninggalkan persoalan di hujung peringatan yang panjang-lebar. Semua mata yang
hadir dalam pertemuan petang itu tertumpu ke arah saya.
"Sebab, kita tidak
mengakhiri kehidupan dengan kebaikan. Sia-sia sahaja kita beramal sepanjang
hidup, tapi di akhir kehidupan kita tidak berada dalam keimanan. Na'uzu
billahi."
Pelajar perempuan itu
mengangguk-angguk. Dia kelihatan yakin untuk meneruskan kehidupan. Kini, dia
sedar bahawa sangkaannya agar lebih baik mati adalah salah.
'Ya Allah, ampunkanlah dosa
adik ini. Ampunkanlah dosa semua manusia yang berada dalam pertemuan ini.' Saya
berdoa di dalam hati, sendirian.
Allah, sungguh aku
berpandangan bahawa mereka lebih baik daripadaku!' Semoga Allah menghimpunkan
kami dalam rahmat dan berkat. Amin, Ya Rabbal 'Alamin.
Pesanan Kekasih Agung :
Daripada Abu Abdul Rahman
Abdullah ibn Mas'uud r.a. beliau berkata: Rasulullah S.A.W telah bersabda, dan
baginda adalah seorang yang benar lagi dibenarkan: "Sesungguhnya setiap
orang di kalangan kamu dihimpunkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40
hari berupa air mani, kemudian menjadi segumpal darah selama tempoh yang sama,
kemudian menjadi seketul daging selama tempoh yang sama, kemudian dikirimkan
kepadanya seorang malaikat lalu dia menghembuskan padanya roh dan dia
diperintahkan dengan empat kalimat; iaitu supaya menulis rezekinya, ajalnya,
amalannya dan adakah dia celaka atau bahagia. Demi Allah Yang tiada Tuhan
melainkan-Nya, sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal
dengan amalan ahli syurga, sehingga jarak antaranya dan syurga tidak lebih dari
sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan
amalan ahli neraka lalu dia memasuki neraka. Dan sesungguhnya salah seorang
dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli neraka, sehingga jarak
antaranya dengan neraka tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan
tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli syurga lalu dia memasuki
syurga." (HR al-Bukhari; 3036 dan Muslim; 2643)
Saya menulis babak
muhasabah ini di sini dengan harapan yang sederhana. Sangat sederhana. Semoga
kita lebih mengingati-Nya setelah banyak dosa yang kita lakukan.
Saya menulis babak
muhasabah ini di sini bukan kerana sudah mampu mengingati-Nya dengan sempurna,
tetapi kerana berharap agar catatan sederhana ini terhitung sebagai langkah
untuk saya mendekati-Nya. Sungguh, saya sangat terkesan dengan luahannya